ALOR SETAR: Syarikat milik kerajaan (GLC) negeri yang terlibat dengan sektor pelancongan di Langkawi dekat sini turut terkesan dengan penularan Covid-19 sejak tahun lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara kesan yang paling ketara dalam tempoh tersebut terpaksa mengurangkan jumlah tenaga kerja.
Menurutnya, buat masa ini, seramai 170 kakitangan Hotel Adya milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) terpaksa diberi cuti tanpa gaji.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 150 daripada mereka terpaksa ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) selepas ini.
“Perkara itu disebabkan PKB tidak lagi mampu membayar gaji ekoran kemerosotan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Dalam keadaan sekarang, kemampuan kerajaan juga terhad.
“Itu keadaan GLC yang mana dalam keadaan tertentu, kerajaan memberi suntikan modal mengikut kadar termampu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, pengurangan tenaga kerja itu bagaimanapun tidak melibatkan GLC-GLC lain yang terlibat dalam sektor bukan pelancongan.
“Cuma PKB saja berbuat demikian di mana GLC lain yang terlibat dalam sektor perladangan dan perlombongan tidak berdepan masalah.
“Namun, kini sektor pelancongan di Langkawi telah bermula kembali dengan kita yakin akan ada peluang baharu untuk diteroka di di sana. Cumanya apabila kita hendak bermula semula, mungkin sukar untuk mengatasi kesan penularan pandemik itu dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Muhammad Sanusi dalam pada itu berkata, ketika ini, difahamkan lebih 1,000 individu yang terlibat dalam sektor pelancongan telah kehilangan pekerjaan di Langkawi.
“Di Langkawi, sumber pendapatan 70 peratus penduduknya bergantung kepada sektor pelancongan. Justeru, penularan pandemik Covid-19 tentunya amat memberi kesan,” katanya.