GEORGETOWN: Sebuah kereta jenis Proton Wira rosak dihempap dinding konkrit akibat tanah runtuh dalam kejadian selepas hujan lebat di Gelugor, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari tadi itu, runtuhan konkrit dan tanah tersebut yang terjadi berhampiran sebuah stesen minyak turut menyebabkan berlakunya kebocoran pada tangki gas.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian runtuhan tanah itu kira-kira pukul 12.41 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
“Sebaik sahaja tiba kita mendapati berlaku runtuhan tanah dan dinding konkrit sepanjang 40 x 3 meter persegi yang turut menghempap sebuah kereta namun tiada mangsa terlibat.
“Tindakan anggota adalah menjalankan kerja-kerja proses menghentikan kebocoran pada tangki gas yang terlibat untuk mengelakkan sebarang kebakaran berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, operasi pemantauan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak itu masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – UTUSAN