Denda RM1,000  jika ponteng puasa di negeri Perak

Denda RM1,000 jika ponteng puasa

MOHD. YUSOP HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketagih merokok dan teh tarik antara alasan popular diberikan kaki ponteng puasa setiap kali ditahan dalam operasi oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sepanjang bulan Ramadan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, hanya kerana rokok sebatang dan teh tarik segelas, mereka yang ditahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara. 

Katanya, kebanyakan yang ditahan atas kesalahan tidak berpuasa dan makan di tempat awam itu juga terdiri dalam kalangan mereka yang berumur.

“Geng plastik hitam (kaki ponteng puasa) ini setiap tahun memang ada. Mereka akan beri pelbagai alasan seperti sakit gastrik, uzur, beli makanan untuk ibu dan tidak tahan lapar selain tabiat menikmati roti canai dan segelas teh tarik. 

“Kita minta mereka ini agar menjaga maruah diri dan agama supaya tidak tercemar akibat perbuatan tersebut. Jika benar pun uzur, boleh berbuka tetapi bukan di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah kepada 100 murid-murid sumbangan JAIPk di Dewan Persatuan India Kinta di sini hari ini.

Menurut beliau, JAIPk telah mengenal pasti beberapa ‘port’ ponteng puasa di semua daerah di negeri ini termasuk beberapa lokasi di Ipoh yang sering dikaitkan dengan aktiviti ‘plastik hitam’.

Katanya, lebih 100 penguat kuasa ditugaskan bagi melakukan pemantauan dan rondaan di premis-premis dikenal pasti termasuk di lokasi-lokasi sunyi seperti kubur dan taman.

“Selain pemantauan oleh penguat kuasa, kita turut menerima maklumat daripada orang awam yang prihatin dan tidak gemar melihat situasi itu berlaku

“Kita nasihat mereka ini agar malu dan bertaubat. Anak berpuasa tetapi bapanya tidak. Jangan kerana dahaga teh tarik sanggup tidak berpuasa. Bertaubatlah sebelum terlambat takut Ramadan akan datang tidak sempat,” katanya.  

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pengusaha restoran agar jangan bersuhabat dengan menyediakan ruang tertentu atau tirai untuk pelanggan yang tidak berpuasa.

“Bagi mereka yang menjual, tanya pelanggan itu makanan yang dibeli untuk siapa dan nasihatlah untuk berpuasa. Kita minta mereka agar sama-sama bantu kerja dakwah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya