Covid-19: Sekolah di tujuh jajahan tutup hingga 1 Mei

Sekolah di tujuh jajahan di Kelantan tutup hingga 1 Mei

SALINAN surat memaklumkan pelanjutan penutupan sekolah di tujuh jajahan di Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penutupan semua sekolah dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan di tujuh daerah di negeri ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 1 Mei depan.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Pendidikan negeri, Zulkernai Fauzi dalam surat rasmi bertarikh 23 April 2021 ditandatangani beliau untuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum diedarkan kepada pentadbir sekolah.

Bagaimanapun, sekolah-sekolah dan institusi di tiga jajahan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang diarahkan beroperasi seperti biasa.

Menurut Zulkernai, pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang diadakan pada 21 April bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah diteruskan. Murid yang ada di asrama pula mereka perlu terus kekal di asrama masing-masing,” katanya dalam surat tersebut.

Pegawai di Jabatan Pendidikan negeri bagaimanapun enggan memberi kerjasama kepada Utusan Malaysia bagi mengesahkan atau menafikan maklumat terkini tersebut.

Sementara itu, guru besar di sebuah sekolah ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut namun mengesahkan telah menerima salinan surat arahan lanjutan penutupan sekolah itu semalam.

Utusan Online sebelum ini melaporkan sekolah-sekolah di tujuh daerah di Kelantan kecuali Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai diarah tutup selama seminggu bermula 18 hingga 24 April. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN