KOTA KINABALU: Keluhan dan suara penduduk Bandar Sierra dan Taman Rimba yang berdepan dengan isu ketiadaan bekalan air sejak Selasa lalu tidak dipandang sepi.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memandang serius isu gangguan bekalan air yang melanda kedua-dua taman perumahan tersebut dan turut memberi jaminan masalah bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
Beliau berkata, gangguan bekalan air di sekitar Manggatal terutama di Bandar Sierra dan Taman Rimba sejak beberapa hari yang lalu disebabkan gangguan berterusan yang berlaku di Loji Rawatan Air Telibong I, Tamparuli.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, gangguan bekalan elektrik pada Selasa mengakibatkan loji tidak dapat berfungsi sepenuhnya selama tiga jam untuk membekalkan air bersih ke kawasan terlibat.
“Selain itu, pada Khamis, loji terpaksa ditutup selama lima jam susulan tahap kekeruhan air sungai yang begitu tinggi dan ia menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bung Moktar berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di Bandar Sierra dan Taman Rimba termasuk pengguna di kawasan Manggatal dan Telipok.
Menurutnya, ketika ini bekalan semasa air di kawasan Kota Kinabalu juga mengalami kekurangan sebanyak 30 peratus dan itu mengakibatkan keadaan bertambah buruk.
Semalam, keadaan loji mula stabil dan dijangka hari ini air akan mula masuk ke dalam tangki selewat-lewatnya pada Isnin atau Selasa depan dan selepas itu bekalan air dijangka pulih seperti sediakala.
“Kita memahami masalah serta kesulitan penduduk yang terlibat. Untuk itu, buat masa ini Jabatan Air Negeri Sabah akan menghantar lori tangki air ke Bandar Sierra dan Taman Rimba. Langkah itu sebagai penyelesaian sementara bagi menunggu pembinaan Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2 siap menjelang 2023,” katanya.
Bung Moktar turut berharap tiada lagi gangguan bekalan elektrik dan kekeruhan air dalam tempoh beberapa hari ini bagi memastikan kelancaran penyaluran bekalan air. Bagi pihak kementerian, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna.
Sejak semalam, tular gambar di media sosial memaparkan kain rentang yang meminta menteri bertanggungjawab terhadap bekalan air untuk tampil menyelesaikan permasalahan air di Bandar Sierra dan Taman Rimba, Manggatal. – UTUSAN ONLINE