Budak Nakal Hujung Simpang : Ramai tapi 'halimunan' - Utusan Malaysia

Budak Nakal Hujung Simpang : Ramai tapi ‘halimunan’

ALBUM baharu Budak Nakal Hujung Simpang akan lebih ke arah genre ska berbanding reggae. - Ihsan Izzat Jamil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH mereka 11 orang semuanya. Ngam-ngam satu pasukan bola sepak. Faktor ini sahaja sudah menjadikan mereka unik kerana bukan mudah untuk mengumpulkan sebegini ramai pemuzik dalam satu kugiran. Yang bertiga pun kadang-kadang bergaduh.

Selain jumlah yang ramai, satu lagi ciri kugiran ini yang melekat dalam kepala saya ialah kebolehan muzik setiap mereka. Sejak awal mengenali Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS), saya banyak mendengar tentang kehebatan hampir setiap mereka dalam bermuzik.

Antara yang paling saya ingat, komen seorang juri Anugerah Lagu Indie (ALI) ketika saya melepak bersamanya. Katanya, faktor utama BNHS layak ke peringkat akhir kerana permainan mereka sangat bersih. Hampir tiada cacat cela.

Namun, masalah kebanyakan pendengar massa di Malaysia, mereka jarang menghargai pemuzik. Tak kiralah berapa ramai pemuzik dalam satu kugiran itu, yang dinilai hanya vokalis. Penghasilan segala bunyian dengan pelbagai instrumen dalam sesebuah lagu hanya dianggap kerja belakang tabir yang tak perlu diberi perhatian.

 

Kugiran halimunan

BNHS pula mempunyai vokalis yang popular. Siapa tidak kenal John Bear, pembicara hal mistik dalam ML Studios? Namun, John lebih popular sebagai selebriti media sosial berbanding vokalis sebuah kugiran reggae/ska/nusantara.

Saya percaya John pun tak seronok dengan keadaan ini tetapi entah apa silapnya, susah betul hendak menaikkan nama BNHS sehingga mereka sendiri bergurau, BNHS ini ‘kugiran halimunan’.

Kata John, mungkin ada konflik tertentu menyebabkan mereka sukar mendapat perhatian media, termasuk media independen namun mereka tidak pernah berhenti berusaha.

“Kita tak perlu nak menuding jari kepada sesiapa. Aku anggap belum ada rezeki untuk kami dikenali,” katanya kepada saya.

Namun, John agak tegas apabila berbicara tentang integriti media yang sebahagiannya meletakkan kepentingan peribadi dalam memilih kugiran atau artis yang mahu ditonjolkan.

Baginya, media perlu memainkan peranan untuk meneroka bakat yang ada dalam industri agar perhatian tidak hanya tertumpu kepada sesetengah artis dan artis lain yang terpinggir begitu sahaja.

“Selagi ada kepentingan peribadi, 10 kali kugiran yang sama, 20 kali dia juga, 30 kali pun cerita pasal kugiran yang sama.

“Kugiran yang lain akan rasa, kenapa tak ambil tahu tentang kami. Takkan kami nak pergi sua kepala, media temu buallah aku?” katanya.

Harapan John, dengan album kedua yang akan muncul tak lama lagi mereka akan mendapat lebih banyak perhatian media.

 

Masih ada ‘barang’ nusantara

Ya, BNHS akan tampil dengan album kedua tahun ini selepas kejayaan Bumantara tiga tahun lalu. Album tersebut dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

Pastinya album ini menarik kerana memang resmi kugiran independen, tak pernah puas berdiri atas satu takuk terlalu lama.

Syed H. Daniel, pemain saksofon kumpulan ini berkata, album kedua ini akan lebih meneroka genre ska berbanding reggae. Dan yang pasti, mereka terus mengekalkan ‘barang’ nusantara yang sudah menjadi identiti mereka.

Mungkin ramai yang tidak perasan, dalam album Bumantara mereka banyak menyuntik elemen kuda kepang dalam muzik mereka.

“Album pertama dalam lagu NADA dan Kongkret Kayoo, kebanyakan elemen yang kami guna ialah kuda kepang. Banyak sebenarnya elemen nusantara ini tapi untuk Bumantara, kami banyak guna kuda kepang.

“Dalam album baharu nanti masih ada juga, contohnya dalam satu lagu kami gunakan rentak joget. Bukan keseluruhan lagu tapi ada dimasukkan elemen itu,” katanya.

Dengan penerimaan pendengar massa sekarang, pastilah wajib BNHS mengekalkan elemen ini. Sekurang-kurangnya biar orang tahu, bukan artis hip-hop saja yang buat kerja ini.

Elemen muzik nusantara juga semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Baru-baru ini, penerbit antarabangsa, Routledge telah menerbitkan buku mengenai muzik nusantara bertajuk Made in Nusantara: Studies in Popular Music.

Seperti yang turut dipersetujui oleh John, muzik sebegini semakin mendapat perhatian kerana khalayak muzik antarabangsa memahukan keunikan, dan muzik nusantara ialah keunikan yang segar bagi mereka.

“Bagi aku penerimaan orang luar dari Malaysia, mereka dah mula mencari sesuatu bunyi yang baharu sebab benda yang ada di luar itu, semua mereka dah dengar,” katanya.

 

 

Budak Nakal Hujung Simpang terdiri daripada:

1. John Bear – vokalis
2. Sam Thomas – Dram
3. Haziq Alias – Perkusi
4. Amer Firdaus – Gitar
5. Suffren G. – Bes
6. Fiffy D. – Keyboard
7. Syed H. Daniel – Saksofon
8. Hakimi Lampy – Saksofon
9. Iskandar Bae – Trumpet
10. Montel N. – Trombon
11. Ad Wafri – Bariton

-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya