Bitcoin jatuh bawah paras AS$50,000 - Utusan Malaysia

Bitcoin jatuh bawah paras AS$50,000

Nilai bitcoin jatuh ke bawah paras AS$50,000 buat kali pertama sejak Mac.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Bitcoin dan mata wang kripto lain menjunam teruk Jumaat lalu ekoran kebimbangan terhadap rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk meningkatkan cukai keuntungan modal yang melemahkan pelaburan dalam aset digital.

Khamis lalu, media melaporkan pentadbiran Biden sedang merancang perubahan terhadap kod cukai AS, termasuk pelan untuk meningkatkan cukai keuntungan modal hampir dua kali ganda kepada 39.6 peratus bagi mereka yang memperoleh pendapatan lebih daripada AS$1 juta (RM4.11 juta).

Mata wang kripto terbesar dan paling popular, bitcoin menyusut kepada AS$47,555 (RM195,427.27), pertama kali nilainya jatuh di bawah paras AS$50,000 (RM205,475) sejak awal Mac lalu.

Pesaingnya yang lebih kecil, Ether dan XRP jatuh 3.5 peratus dan 6.7 peratus masing-masing manakala dogecoin yang direka sebagai gurauan kepada pengguna baharu kripto jatuh 20 peratus kepada AS$0.21 (RM0.86), menurut harga dan data daripada CoinGecko.

Pelan cukai Biden itu mengejutkan pasaran, mendesak pelabur untuk mengeluarkan keuntungan dalam saham dan aset risiko yang sangat menguntungkan ekoran harapan pemulihan ekonomi.

Pengasas Bitcoin Center NYC, Nick Spanos menjangkakan nilai bitcoin akan terus menjunam dalam beberapa hari ini.

“Dengan pertumbuhan yang tinggi dalam harga bitcoin, pemegang kripto yang telah mengakru hasil akan terlibat dalam kenaikan cukai ini,” katanya.

Minggu lalu, bitcoin mengalami kerugian 11.3 peratus, prestasi mingguan terburuknya sejak akhir Februari.

Namun, secara tahunan, nilai masih meningkat 72 peratus.

Walau bagaimanapun, ketika media sosial dibanjiri hantaran tentang bagaimana pelan cukai baharu tersebut memberi kesan kepada kripto, beberapa pedagang dan penganalisis berkata penyusutan nilai mungkin hanya sementara.

Ketua Pegawai Eksekutif Cryptohopper, Ruud Feltkamp berpendapat, pelan cukai Biden tidak akan memberikan impak besar kepada bitcoin.

“Nilai bitcoin meningkat untuk satu tempoh yang lama, konsolidasi adalah normal. Pedagang mengutip untung,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya