PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah syarikat membawa masuk 173,074 kilogram biji kopi dari Colombia tanpa mematuhi syarat import membawa padah apabila kontena berisi bahan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta berjaya dirampas.
Difahamkan, biji kopi tersebut akan diproses terlebih dahulu untuk dipasarkan kepada salah sebuah rangkaian kedai kopi terkenal.
Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) , Zamri Hisham berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di Pelabuhan Klang Utara di sini Khamis lalu kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap barang dagangan tersebut dan menemukan biji kopi seberat 173,074 kilogram biji kopi yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta.
“Siasatan lanjut mendapati, kontena berisi biji kopi itu telah berada di pelabuhan sejak 28 Mac lalu dan dibawa oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Shah Alam.
“Kita menahan kontena tersebut kerana mendapati barang dagangan ini tidak mematuhi syarat import MAQIS seperti yang dinyatakan permit dan lesen.
“Oleh demikian, syarikat tersebut telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zamri, rampasan melibatkan biji kopi itu merupakan yang pertama bagi tahun ini.
“Syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(2), akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
“Kita akan terus memperketatkan kawalan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE