Bersatu, Pas Perak bincang kukuhkan hubungan esok

Bersatu, Pas Perak bincang kukuhkan hubungan esok

ZAINOL Fadzi Paharuddin (depan, tengah) bersama peserta kursus fertigasi cili di Pusat Latihan Pertanian Degong, Labu Kubong, Pasir Salak, Perak hari ini. - FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas Perak akan mengadakan perjumpaan di sini esok bagi membincangkan usaha mengukuhkan hubungan kedua-dua parti  itu.

Pertemuan itu susulan daripada kenyataan bersama Pas dan Bersatu Pusat yang merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pertemuan esok melibatkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pada pukul 11 pagi.

“Kita menyambut baik usaha mengukuhkan kerjasama dan merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi Bersatu dan Pas dalam PN.

“Untuk itu, esok ada perjumpaan antara Pesuruhjaya Pas Perak dan ketua badan kepemimpinan Bersatu.

“Mungkin mereka akan umum sesuatu, saya tak boleh mendahului. Bersatu negeri sambut baik dan menyokong persefahaman yang dipersetujui antara Presiden Pas dan Presiden Bersatu untuk kita mengukuhkan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menutup kursus fertigasi cili di bawah Program Tranformasi Pekerjaan di Pusat Latihan Pertanian Degong, Labu Kubong, di sini hari ini.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan baru-baru ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, kepemimpinan tertinggi Bersatu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN.

Sementara itu, mengenai keputusan UMNO untuk bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Zainol Fadzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, ia terpulang kepada UMNO.

“Itu hak masing-masing, terpulang sebab soal bertanding orang yang tak ada parti pun boleh bertanding.

“Tengok apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sampai 11 calon bertanding di satu kerusi. Bukan hak parti untuk menentu jumlah yang boleh bertanding di satu-satu kawasan, sesiapa pun boleh bertanding, walaupun dia bukan orang parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya