KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 747,120 rokok putih pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai hampir RM603,000 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di negeri ini, pada 31 Mac lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan pertama sebanyak 508,000 rokok putih yang dibungkus dalam plastik hitam dirampas di pesisir pantai Lembah Bidong di Setiu kira-kira pukul 1 pagi.
“Semasa serbuan, rokok seludup itu sedang dipindahkan dari bot untuk dibawa ke lori yang menunggu di kawasan pantai, bagaimanapun individu yang terlibat berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kita percaya rokok ini dibawa masuk dari luar negara dengan kapal dan kemudian bekalan diambil bot-bot di tengah laut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Terengganu di sini hari ini.
Menurut Abdul Latif, dalam serbuan kedua sebanyak 239,120 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dirampas di sebuah rumah kedai di Kampung Pak Madah di Bukit Payung, Marang, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Katanya, pihaknya turut menahan dua warga tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an dipercayai pemilik dan pekerja premis itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, katanya, dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini lebih 70 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dirampas JKDM di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE