SEREMBAN: Mana-mana penganjuran bazar Ramadan di negeri ini yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 akan ditutup selama tiga hari.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini laporan yang diterima terdapat beberapa kesesakan pengunjung di bazar Ramadan di kawasan Nilai.
“Dua hari lalu, saya ada meminta Datuk Bandar dan Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk berjumpa dengan semua pengusaha bazar Ramadan yang terbabit dan memberikan peringatan sekiranya mereka ingkar bazar akan ditutup selama tiga hari.
“Saya juga akan menyerahkan kepada pihak polis atau penguatkuasa jika perlu diambil tindakan yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Program Integrasi Sosial dan Outreach Rujukan Raya Tanpa Covid-19 bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Seremban 2 dekat sini hari ini.
Yang Hadir sama, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon.
Bagaimanapun menurut Aminuddin, beliau tidak menerima sebarang pelanggaran SOP di daerah lain.
“Saya tidak ada menerima laporan berkaitan pelanggaran SOP di daerah lain seperti Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Rembau. Saya dimaklumkan mereka mengikut SOP yang ditetapkan.
“Saya berharap semua pihak dapat mematuhi SOP. Solat tarawih dapat dilaksanakan di masjid juga perlu mengikut SOP dan sila elakkan sebaik mungkin dari melanggar peraturan sedia ada supaya kita semua dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, sebanyak tujuh keluarga dan 30 orang anak-anak klien AADK Kuala Pilah diraikan.
Aminuddin turut beramah mesra dengan setiap klien AADK dan mereka turut menerima pakaian baru bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN