IPOH: Seorang Pembantu Tadbir Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI), Dahlia Ramli, 36, muncul sebagai pemenang hadiah pertama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI iaitu wang tunai sebanyak RM20,000.
Dahlia menyertai cabutan bertuah berkenaan setelah membayar cukai taksiran sebanyak RM300 secara atas talian menerusi sistem JOMpay.
Menurutnya, dia tidak menyangka menjadi pemenang hadiah pertama dan membawa pulang wang tunai RM20,000.
“Ini merupakan rezeki yang saya tidak sangka sama sekali. Dengan membayar cukai taksiran secara atas talian lebih kurang RM300, saya tidak sangka mendapat pulangan yang sangat lumayan.
“Dengan pembayaran cukai taksiran menggunakan sistem JOMpay, saya hanya perlu melakukan transaksi secara atas talian tanpa perlu membayarnya di pejabat.
“Sistem ini sangat memudahkan para pengguna untuk melakukan pembayaran cukai taksiran tanpa perlu ke pejabat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran MBI Tahun 2021, di sini hari ini.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Sementara itu, dalam ucapannya, Rumaizi berkata, para pemenang terdiri dari mereka yang merupakan ‘good pay master’ iaitu mereka yang membuat bayaran cukai taksiran setahun kepada pihak majlis.
Menurutnya, MBI menawarkan hadiah berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM76,000 untuk cabutan bertuah itu.
Katanya, sebanyak 141,191 bil telah membuat pembayaran setahun pada tahun ini berbanding 148,174 bil pada tahun lalu.
“Jumlah bayaran lebihan adalah sebanyak RM36.45 juta berbanding RM39.5 juta pada tahun 2020.
“Walaupun terdapat sedikit pengurangan, jumlah ini masih pada tahap membanggakan disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pembayaran ini adalah tanda positif warga kota menyambut baik program Bil Setahun Cukai Taksiran yang diperkenalkan serta cabutan bertuah,” katanya. – UTUSAN ONLINE
RUMAIZI Baharin (tengah) bersama pemenang hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran MBI Tahun 2021 di Ipoh, Perak hari ini. – IHSAN MBI