Anggota polis didakwa minta, terima rasuah lima tahun lalu

Anggota polis didakwa minta, terima rasuah RM400

ANGGOTA polis (tengah) didakwa atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Mohd. Rushisham Rusli, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Rushisham yang bertugas di Balai Polis Kamunting dituduh meminta suapan iaitu wang tunai RM400 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan melakukan ujian air kencing terhadapnya dan seorang rakan kerana disyaki mengambil dadah. 

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di gelanggang bola tampar di Balai Polis Kamunting antara pukul 10 hingga 11 malam, 27 April 2016.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa secara rasuah memperolehi wang tunai RM50 daripada lelaki terbabit untuk tidak mengambil tindakan di mana perlakuan itu dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan ketiga apabila menerima wang tunai berjumlah RM100 daripada lelaki sama untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan serupa di belakang sebuah stesen minyak di daerah Larut Matang dan Selama antara pukul 6.30 hingga 7.30 petang, 29 April 2016.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan tersebut turut dibaca bersama dengan dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun peguam tertuduh, Ranjit Singh meminta wang jaminan dikurangkan kepada RM8,000.

Indra Nehru kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Taiping sekali setiap bulan sepanjang tempoh prosiding.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Jun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya