ALOR SETAR: Sebuah ambulans yang membawa seorang pesakit Covid-19 terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 52.6, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah utara dekat sini, hari ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, kejadian itu berlaku ketika ambulans berkenaan yang turut dinaiki tiga petugas Kementerian Kesihatan termasuk pemandu, sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini.
“Kesemua mereka terdiri daripada para petugas kementerian dan pesakit tersebut selamat dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ini merupakan kejadian kedua seumpamanya berlaku dalam tempoh seminggu selepas sebuah ambulan KKM yang membawa pesakit Covid-19, terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara di sini, 9 April lalu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 4.20 petang.
“Para pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi 13 minit kemudian. Setibanya di lokasi, mereka mendapati sebuah ambulans terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan dinaiki dua lelaki.
“Pesakit Covid-19 tersebut telah diasingkan ke lokasi selama oleh petugas kementerian sementara kelindan lori yang berumur 56 tahun mengalami kecederaan parah selepas tercampak keluar dari kenderaannya,” katanya.
Tambahnya, kesemua yang terlibat telah dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN