KANGAR: Seramai 903 penerima vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini yang terdiri daripada warga emas menerima suntikan tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, suntikan bagi fasa tersebut diberikan kepada penerima berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko yang mempunyai penyakit kronik.
Katanya, penerima vaksin hadir ke pusat tersebut mengikut masa yang ditetapkan melalui aplikasi MySejahtera masing-masing.
“Setakat ini, kita belum menerima jumlah keseluruhan mereka yang mendaftar dan akan mengambil suntikan pada fasa ini, namun kuota kita adalah sebanyak 80,000.
“PPV Dewan Wawasan 2020 mempunyai 12 vaksinator dan mempunyai kapasiti melakukan suntikan kira-kira 1,000 setiap hari,” katanya ketika ditemui semasa melawat PPV tersebut di Persiaran Wawasan di sini hari ini.
Sementara itu, pihaknya juga menyediakan bilik rawatan dilengkapi dengan enam katil sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kecemasan.
“Buat masa ini, kita hanya ada satu sahaja PPV, namun akan mempertimbangan untuk membuka satu lagi iaitu di Dewan Seri Melati selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Jika pusat tersebut dibuka, kami merancang untuk meletakkan empat orang vaksinator,” ujarnya. – UTUSAN