8 pengawal keselamatan rakyat Filipina guna kad pengenalan palsu

8 pengawal keselamatan rakyat Filipina guna kad pengenalan palsu

PEGAWAI JPN mengiringi lapan orang warganegara Filipina yang ditahan atas kesalahan menggunakan Kad Pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapan pengawal keselamatan warganegara Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara di antara dua bulan dan 18 bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini terhadap tuduhan berbeza berkaitan penggunaan kad pengenalan palsu.

Pertuduhan terhadap kelapan-lapan lelaki itu dikemukakan di lima mahkamah berasingan iaitu di hadapan Majistret-Majistret S. Mageswary, Tawfiq Affandi Chin, Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Wong Chai Sia dan Aina Azahra Arifin.

Mereka terdiri daripada Romi Jikiri, Rijan Esnael, Razmie Alim, Sababon Insalon, Askun Nahilun, Buyong Akakol, Ambitun Absarun dan Asmarun Kilong.

Mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan berlainan iaitu menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri, memiliki kad pengenalan yang bukan kepunyaannya dan
menggunakan salinan kad pengenalan palsu untuk permohonan pekerjaan.

Kesemua tertuduh yang berumur di antara 23 dan 58 tahun didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu-waktu berlainan di tiga tempat berbeza.

Lokasi-lokasi tersebut ialah Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan, Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Dutamas di sini, Stadium Negara, Jalan Stadium Bukit Bintang dan di Stadium Merdeka, Jalan Stadium.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu Mohd. Zakuan Zakaria, Mohd. Supian Abdullah dan Mohamad Riduawan Abdullah manakala tertuduh-tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPN Wilayah Persekutuan hari ini, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Kuala Lumpur telah menjalankan Operasi Terancang pada Selasa lalu di sebuah lokasi di ibu negara berdasarkan maklumat risikan.

Pengarah Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Eris Jemadi Tajudin berkata, operasi itu kemudian menahan lapan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di Pondok Pengawal Stadium Merdeka yang disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

Siasatan juga mendapati mereka memperolehi kad pengenalan palsu daripada ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Operasi selama dua jam itu dijalankan dengan kekuatan tujuh pegawai dari JPN Kuala Lumpur dengan bantuan empat pegawai dari Unit Khas, Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan, JPN Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya