PETALING JAYA: Lapan lagi pemain badminton kebangsaan disahkan positif Covid-19, sekali gus menjadikan 14 kes keseluruhan dicatatkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara setakat ini.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, semua lapan kes terbaharu itu dikesan Selasa lalu.
Bagaimanapun katanya, BAM sudah mengambil tindakan segera seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah mengasingkan pemain yang dipercayai sebagai kontak rapat.
“Sejak dari kes pertama, kami sudah melakukan beberapa proses sanitasi di ABM, malah semua pemain, jurulatih dan pegawai menjalani kuarantin. Jadi, kami percaya kes terbaharu ini berpunca daripad kes sebelumnya.
“KKM masih dalam proses mengenal pasti punca lapan pemain itu dijangkiti, bagaimanapun kami sudah mengambil semua langkah perlu untuk membendung penularan virus termasuk melakukan sanitasi tiga atau empat kali sejak kes pertama dilaporkan.
“Semua lapan pemain itu sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bagi menjalani kuarantiN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Kenny, tiada seorangpun pemain program Sukan Olimpik yang mengambil suntikan vaksin Covid-19 minggu lalu berada dalam senarai tersebut, termasuk juara All England, Lee Zii Jia, sebaliknya ia melibatkan pemain pelapis.
Kata Kenny semua latihan melibatkan pemain senior dan remaja dihentikan sehingga keadaan benar-benar selamat.
“Esok semua pemain akan menjalani ujian calitan sekali lagi. Kita tunggu keputusan sebelum memutuskan bila latihan akan kembali disambung, namun BAM mengharapkan pemain dapat berlatih semula pada Isnin atau Selasa,” katanya.