RANTAU PANJANG: Seorang pemandu dan kelindan tempatan yang bertindak sebagai tekong darat dicekup bersama 42 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah bas di pangkalan haram Tok Awang Belulang di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 7.45 malam itu, semua PATI warga Thailand terbabit baru tiba dari Kuala Lumpur dan dipercayai mahu merentas sempadan untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintenden Azhari Nusi berkata, sebelum kejadian, anggota PGA membuat pemerhatian di kawasan pangkalan haram itu dan ternampak sebuah bas berhenti dalam keadaan mencurigakan.
“Pemerhatian lanjut mendapati, terdapat beberapa penumpang turun sambil mengangkat bagasi masing-masing dan dipercayai mahu melintasi sempadan.
“Ketangkasan anggota PGA di lokasi itu telah berjaya menahan semua PATI tersebut daripada lolos,” katanya kepada pemberita di Markas PGA Lubok Stol di sini, hari ini.
Azhari memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri mendapati pas lawatan warganegara Thailand itu tamat tempoh dan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Terdapat dua kanak-kanak turut ditahan dalam serbuan tersebut. Kesemua PATI yang ditahan berusia antara tiga hingga 42 tahun dan daripada jumlah itu 30 adalah lelaki dan selebihnya perempuan.
“Dua tekong darat warga tempatan dan kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – UTUSAN