LIPIS: Seramai 40 penumpang bas ekspres dua tingkat termasuk pemandu dan pembantu yang dalam perjalanan dari Bachok, Kelantan ke Kuala Lumpur, berdepan detik cemas apabila terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 90 Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kesemua yang terlibat selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi hari ini.
“Kejadian berlaku ketika bas ekspres itu bergerak di jalan utama (Bachok ke Kuala Lumpur) sementara lori yang membawa muatan susu kultur itu keluar dari persimpangan menuju ke Pengkalan Chepa.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori cuai (ketika keluar dari simpang) dan bas yang bergerak di sepanjang jalan utama tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit.
“Akibat daripada pelanggaran, lori tersebut tergelincir di bahu jalan namun tidak menghalang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata, pemandu lori berusia 60 tahun nyaris maut berikutan lori yang dipandunya terbalik tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis juga telah merakam kenyataan pemandu bas ekspres dan pemandu lori bagi memudahkan lagi siasatan seterusnya dilakukan,” katanya. – UTUSNA ONLINE