Seramai 30 pekerja sokongan hilang punca pendapatan

30 pekerja sokongan hilang punca pendapatan

MONA Ang (kiri) menerima memorandum daripada M. Sarasbaty di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - FOTO/SUBKHI SUDARJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan mendakwa sebanyak 30 ahlinya yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pendapatan sebagai pekerja pembersihan kini hilang mata pencarian selepas diberikan notis persaraan pada 31 Mac lalu.

Mereka yang terdiri daripada pekerja-pekerja sokongan (pembersihan) di 33 hospital kerajaan di utara Semenanjung hilang punca pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selepas Edgenta UEMS Sdn. Bhd. (UEMS) selaku syarikat pengendali pekerja sokongan tidak menunaikan aku janji yang dipersetujui pada sesi ‘townhall’ hujung tahun lalu.

Setiausaha Eksekutifnya, M. Sarasbaty berkata, tindakan UEMS yang melanggar aku janji dengan memberhentikan pekerja berusia 60 tahun ke atas tidak seharusnya berlaku.

Menurutnya, UEMS sebelum ini berjanji bahawa perkhidmatan pekerja berumur 60 tahun ke atas akan disambung jika masih mampu menjalankan tugas serta tidak perlu risau mengenai status pekerjaan mereka kelak.

“Namun UEMS telah melanggar aku janji dan pekerja-pekerja berumur 60 tahun ini menjadi mangsa selepas mereka diberikan notis persaraan pada Disember tahun lalu bahkan, seramai 30 pekerja telah menerima notis persaraan pada 31 Mac lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang diwakili Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan, Mona Ang di pekarangan kementerian itu hari ini.

Sarasbaty mendakwa, ahli-ahli kesatuan juga berdepan dengan tekanan dan ugutan oleh UEMS dalam rutin harian mereka serta penglibatan dalam aktiviti kesatuan.

“Walaupun kesatuan telah banyak membuat aduan namun ia tetap berlaku secara berterusan dan semakin serius.

“Tiada usaha diambil oleh UEMS untuk menjaga keharmonian industri, jadi kami menyeru agar Kementerian Kesihatan mengambil tindakan segera bagi menghentikan tindakan UEMS terhadap pekerja pembersihan hospital,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak agar pihak pengurusan kementerian untuk campur tangan, seterusnya membantu kesatuan membela nasib golongan sokongan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN