GUA MUSANG: Taktik 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan surat kebenaran palsu untuk merentas negeri dengan menaiki bas ekspres gagal apabila dikesan polis ketika sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Putih di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita menaiki bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Rantau Panjang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan polis mendapati PATI yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, anggota polis bertugas di SJR berkenaan berasa curiga selepas warga asing berkenaan mengemukakan surat kebenaran merentas negeri dengan membuat salinan surat yang sama.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima warga asing tersebut telah menggunakan permit rentas negeri yang palsu, manakala 10 lagi tidak memiliki permit rentas negeri.
“Siasatan awal juga mendapati PATI itu membeli tiket bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan ingin balik ke negara asal melalui sempadan Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.
Tambahnya, selain warga asing itu beberapa orang penumpang warga tempatan juga berada dalam bas ekspres sama tetapi mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang sah.
Choon Foo berkata, PATI itu ditahan reman bermula Isnin sehingga 19 April ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 420 kanun keseksaan. – UTUSNA ONLINE