PETALING JAYA: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan berusaha mempercepatkan proses bekas pemain ragbi remaja kebangsaan, Izzat Hazziq Baharuddin mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Bekas atlet berusia 27 tahun itu sebelum ini terlibat dengan kemalangan pada 2016 ketika dalam perjalanan dari Shah Alam ke kediaman keluarganya di Senawang dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala yang menyebabkan dia sukar berkomunikasi serta menguruskan diri.
Izzat atau lebih dikenali sebagai Kumin perlu mendapatkan rawatan berterusan bagi mebolehkan keadaannya menjadi lebih baik bagi memudahkannya menguruskan diri.
“Hari ini, kita bawa Kumin ke hospital, kita akan buat penilaian dan kemungkinan besar dia akan dimasukkan ke hospital dan buat rawatan susulan.
“Kami di Yakeb akan cuba mempercepatkan proses dan kita akan beri perhatian dan keyakinan kepadanya supaya dia boleh pulih dengan secepat mungkin. Mungkin bukan 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya boleh menguruskan dirinya,” kata Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Sementara itu, bapa kepada Kumin, Baharudin Mohamed mengakui bantuan Yakeb dapat mengurangkan perbelanjaan fisioterapi yang perlu ditanggung keluarganya selain berharap proses pemulihan anaknya dapat berjalan dengan lancar.
“Bantuan Yakeb ini sangat diperlukan kerana dia memerlukan rawatan fisioterapi secara berterusan. Sebelum ini keadaannya agak teruk tetapi sekarang banyak perubahan.
“Tanpa Yakeb mungkin sukar sedikit kerana kos rawatan agak tinggi selain proses ini memerlukan masa panjang dan saya percaya, bantuan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada anak saya tetapi kepada semua atlet yang memerlukan,” katanya.