ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM7,000 kepada seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tahun lalu.
Tertuduh, Noor Kalam Soyut Alam, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim, Murtazadi Amran.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Faathirah, Padang Mat Sirat, Langkawi kira-kira pukul 1 pagi, pada 21 Julai 2020.
Dia dituduh memberi wang tunai berjumlah RM7,000 sebagai dorongan kepada seorang individu berpangkat Pegawai Kanan Penguat Kuasa Maritim dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyeludupan seramai 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar etnik Rohingya melalui jalan laut.
Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh turut memohon untuk mendapatkan penterjemah bagi mendepani perbicaraan tersebut.
Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh. – UTUSAN ONLINE