UMNO Perlis perintis penyatuan - Shahidan Kassim

UMNO Perlis perintis penyatuan

SHAHIDAN Kassim (dua dari kanan) pada himpunan Muafakat Nasional (MN) di Kangar, Perlis pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim jelas dengan pendirian bahawa di peringkat negeri ini mereka akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain mengukuhkan hubungan dengan Pas.

Bak kata Shahidan, keputusan tersebut bukan daripada beliau semata-mata sebaliknya keputusan mesyuarat bahagian-bahagian di Perlis iaitu mahu bekerjasama dengan semua parti-parti politik bumiputera.

Demi penyatuan ini, khususnya daripada soal pengagihan kerusi di negeri ini mungkinkah UMNO sedia memberi ruang atau laluan kepada Bersatu di beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas parti itu gagal memenangi satu kerusi pun dalam pilihan raya lalu.

Pada PRU-14, Bersatu yang bersama Pakatan Harapan (PH) ketika itu tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi iaitu Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang, Kayang selain Parlimen Arau dan Padang Besar.

Di Perlis, BN menang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi selain dua daripada keseluruhan tiga Parlimen di negeri ini dalam pilihan raya tersebut.

Pas pula menguasai DUN Guar Sanji dan Sanglang dan dijangka kekal menjadi milik mereka pada pilihan raya akan datang.

Jika mengikut formula awal, mana-mana parti yang mendapat undi kedua tertinggi diberi peluang bertanding dalam PRU-15 di Perlis, dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) paling mendapat kelebihan mengikut percaturan tersebut berbanding Pas dan jauh sekali Bersatu.

Bersatu pula jika ditakdirkan menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan Pas pada pilihan raya akan datang, satu kerusi pun tidak dapat jika mengikut formula tersebut.

Namun dengan pendirian UMNO Perlis yang mahu bekerjasama dengan Bersatu, mungkin soal pengagihan kerusi itu boleh berubah jika UMNO sedia memberi ruang kepada Bersatu.

Mungkin UMNO Perlis boleh menjadi perintis terhadap formula baharu pembahagian kerusi membabitkan ketiga-tiga parti itu.

Soalnya di manakah kerusi yang sesuai untuk diberikan kepada Bersatu. Jika di Arau, boleh dikatakan tiga kerusi DUN iaitu Pauh, Simpang Empat dan Tambun Tulang selain Parlimen di situ yang disandang Shahidan merupakan kubu kuat UMNO sejak sekian lama. 

Di Padang Besar, pada PRU-14, BN menyapu bersih lima kerusi DUN iaitu Beseri, Mata Ayer, Titi Tinggi, Chuping dan Santan selain terus selesa mengekalkan Parlimen Padang Besar. Adakah BN sanggup mengorbankan salah satu kerusi tersebut kepada Bersatu ?.

Di Kangar yang menyaksikan BN dan Pas tewas di tiga kerusi DUN dan Parlimen di situ dalam PRU-14 iaitu masing-masing DUN Sena, Kuala Perlis, Indera Kayangan dengan mungkin salah satu atau dua boleh dipertimbangkan diberikan kepada Bersatu.

Apakah UMNO Perlis sanggup mengorbankan beberapa kerusi lain kepada Bersatu apabila kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama ?.

Dengan kekuatan dan pengalaman Shahidan yang mengetuai UMNO dan BN di Perlis selain hubungan baik dengan parti-parti lain seperti Bersatu dan Pas dijangka tidak menjadi masalah besar bagi beliau menyelesaikan proses tersebut menjelang pilihan raya nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya