ALOR SETAR: Menara Alor Setar di sini menawarkan tiket eksklusif pada harga RM10 kepada kaum hawa yang ingin mengunjungi pelantar pemandangan terbuka atau Star View sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, esok
Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak berkata, tawaran itu bertujuan meraikan golongan wanita sempena sambutan tersebut.
“Selain itu, hadiah istimewa turut disediakan kepada pengunjung wanita yang mengenakan pakaian berwarna ungu termasuk hadiah misteri kepada 50 wanita pertama yang membeli tiket berkenaan.
“Selain itu, diskaun 10 peratus turut ditawarkan untuk semua menu ala carte kepada wanita yang ingin menikmati makanan secara ‘dine in’ di Restoran Berputar, Starsky Restaurant & Lounge di menara ini,” katanya di sini hari ini.
Harga tiket pelantar pemandangan terbuka pada hari biasa ialah RM49.
Tambah beliau, semua pengunjung perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Kementerian Kesihatan serta mematuhi norma baharu yang dibenarkan semasa melawat Menara Alor Setar.
Star View yang mula beroperasi sejak 26 Julai tahun lepas diilhamkan daripada Sky Box yang dibina di Sky Deck Menara Kuala Lumpur pada 2016.
Hari Wanita disambut di seluruh dunia pada setiap 9 Mac sebagai meraikan golongan tersebut. – UTUSAN ONLINE