Tiket aksi JDT, Melaka United tidak dijual - Utusan Malaysia

Tiket aksi JDT, Melaka United tidak dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya pemegang pas bermusim dan 2,000 penonton dibenarkan memasuki Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini untuk menonton perlawanan Liga Super menentang Melaka United.

JDT dalam Facebook rasminya, Johor Southern Tigers berkata,  semua pemegang Pas Bermusim Platinum dibenarkan masuk dan hanya perlu hadir di stadium pada hari perlawanan dengan membawa pas masing-masing.

Bagaimanapun, jumlah yang dibenarkan untuk pemegang Pas Bermusim Gold adalah terhad ekoran syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Katanya, pemegang Pas Bermusim Gold perlu mengambil QR Code (pas masuk) di kaunter pandu lalu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Khamis (12 tengah hari hingga 8 malam) atau Jumaat (10 pagi hingga 1 petang) tertakluk kepada jumlah sedia ada.

“Kad pas bermusim perlu ditunjukkan dan pengambilan oleh pihak ketiga dibenarkan jika kad pas bermusim ditunjukkan. Satu pas bermusim layak untuk mendapat satu QR Code sahaja,” katanya kenyataan itu hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan mengeluarkan kenyataan penyokong dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan dengan kehadiran mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) berpandukan kawasan lokaliti.

Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dibenarkan kehadiran 10 peratus daripada kapasiti stadium atau 2,000 penyokong manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejumlah 25 peratus kapasiti stadium.

Sementara itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyambut baik keputusan itu lebih-lebih lagi perlawanan menentang Melaka United itu menjadi penanda aras keberkesanan pematuhan tersebut.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pemegang Pas Bermusim Gold perlu kekal di dalam kenderaan ketika pandu lalu kerana tiada kaunter fizikal disediakan.

“Hanya mereka yang mempunyai QR Code atau kad Pas Bermusim Platinum sahaja dibenarkan untuk berada di kawasan Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN