Tiga loji baharu di Terengganu bekal 100 juta liter air sehari 

Tiga loji baharu di Terengganu bekal 100 juta liter air sehari 

MAMAD Puteh (tengah) meninjau Loji Rawatan Air Pulau Bahagia di Kuala Terengganu yang dijangka beroperasi beberapa hari lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 100 juta liter air sehari bakal dibekalkan kepada 100,000 kediaman di daerah ini dan Kuala Nerus apabila tiga loji baharu beroperasi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, perkembangan itu sekali gus dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku akhir-akhir ini.

Katanya, loji di Pulau Bahagia di sini dijangka beroperasi beberapa hari lagi bagi menampung keperluan lebih 20,000 rumah di sekitar Manir dan Telemong.

“Bagi loji di Bukit Berapit, Kuala Nerus pengeluaran air adalah sebanyak 120 juta liter air sehari dan kita cuba menyiapkan separuh dahulu sebelum sambutan Aidilfitri manakala loji di Losong yang menampung kapasiti 40 juta liter air sehari turut akan disiapkan separuh iaitu 20 juta liter sehari,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau pembinaan Loji Rawatan Air Pulau Bahagia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) Ir Atemin Sulong.

Sebelum ini, masalah gangguan bekalan air sering menjadi rungutan penduduk di Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Marang dan kemuncaknya ialah pada awal bulan ini yang mana 40,200 akaun terjejas akibat masalah teknikal di Loji Kepong 1, Serada.

Dalam perkembangan sama, Atemin berkata, tiga loji sedia ada di Kepong 1, Kepong 2 dan Losong yang kini dinaik taraf dijangka siap pada Ogos depan dan inisiatif sama turut dilakukan di muka sauk di Serada serta Pulau Musang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN