JOHOR BAHRU: Anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd. Tamrin Abdul Ghafar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan membuat kenyataan jelik terhadap kerabat Diraja Johor.
Beliau yang mengaku tidak bersalah terhadap perbuatan itu memohon agar dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Tamrin, 71, menggunakan laman blog di pautan tamrintunghafar.blogspot.com secara sedar membuat komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Media RPO Services, Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, di sini pada 2 Februari tahun lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memohon agar mahkamah menetapkan jaminan RM20,000.
Peguam tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun memohon agar mahkamah menetap wang jaminan tidak melebihi RM5,000 dengan mengemukakan beberapa sebab atas permohonan itu.
Antaranya termasuklah tertuduh kini merupakan seorang penganggur dan mempunyai sakit jantung yang memerlukan rawatan bulanan di Institut Jantung Negara (IJN).
Wan Mohd. Norisham kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 23 Mei ini untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.
Selain Yusaini Amer, pendakwaan terhadap tertuduh turut dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman. – UTUSAN ONLINE