'Suntik rakyat dulu, saya kemudian' - Menteri Besar Perlis

‘Suntik rakyat dulu, saya kemudian’ – MB Perlis

AZLAN (dua dari kanan) pada program imunisasi Covid-19 peringkat negeri Perlis di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau, Perlis hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man memberi keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu menerima suntikan vaksin Covid-19, sebelum beliau mengambil suntikan vaksin tersebut selepas ini.

Beliau berkata, difahamkan jumlah vaksin tersebut tidak mampu menampung keseluruhan rakyat dan biarlah mereka didahulukan sebelum para pemimpin.

“Hari ini, saya tidak terima (suntikan vaksin) dan akan menerimanya kemudian. Bagi rakyat dahulu baru pemimpin terima selepas itu.

“Di media-media sosial netizen ada mengadu mengapa pemimpin terlebih dahulu (terima suntikan vaksin). Berikan peluang kepada rakyat saya kemudian,” katanya pada majlis pelancaran program imunisasi Covid-19 peringkat negeri ini di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini hari ini.

Seramai 342 individu daripada anggota kesihatan menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di klinik kesihatan tersebut.

Pengerusi Jawatan kuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Aan menjadi individu pertama menerima suntikan pada program tersebut diikuti Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof dan Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad.

Tambah Azlan, suntikan vaksin tersebut di negeri ini melibatkan tiga fasa dengan pertama bermula Februari hingga April membabitkan kira-kira 8,000 petugas barisan hadapan.

Katanya, fasa kedua pada April hingga Ogos membabitkan kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan mempunyai penyakit kronik iaitu kira-kira 94,000 individu.

“Seterusnya fasa ketiga melibatkan kira-kira 100,000 penduduk di negeri ini yang terdiri daripada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. Bermakna lebih 200,000 penduduk di negeri ini bakal menerima vaksin tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kumpulan antivaksin, Azlan berkata, golongan tersebut memang ada dan mungkin mereka tidak menerima maklumat yang menyeluruh mengenai kebaikan suntikan vaksin tersebut.

“Kempen penerangan mengenai kesedaran pengambilan vaksin tersebut akan diteruskan. Kerana program suntikan vaksin ini adalah sesuatu yang baik dalam mengekang penularan Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN