Sultan Selangor zahir sukacita 90% petugas barisan hadapan divaksin

Sultan Selangor zahir sukacita 90 peratus petugas barisan hadapan divaksin

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Dr. Sha’ari ketika menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor pada 21 Julai tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila lebih daripada 90 peratus petugas-petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dalam titahnya, baginda dimaklumkan, mereka yang menerima suntikan vaksin itu merangkumi para doktor, jururawat, pemandu ambulans, kakitangan sokongan perubatan dan kakitangan hospital yang terbabit secara langsung merawat pesakit-pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Titahnya, baginda turut difahamkan bahawa lebih daripada 50 peratus petugas-petugas barisan hadapan di hospital-hospital swasta di Selangor telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing dan dijangkakan kesemua mereka akan menerimanya menjelang akhir Mac ini.

“Beta sentiasa mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa mengenai data-data berkaitan kes-kes baharu Covid-19 dan juga statistik penerimaan vaksin daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman.

“Beta turut berasa sukacita dan memuji petugas-petugas barisan hadapan khususnya di hospital-hospital di Selangor yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga kini.

“Beta berasa gembira dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap selepas menerima suktikan vaksin Covid-19, petugas-petugas barisan hadapan akan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan,” titahnya dalam Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Pada masa sama, baginda turut menitahkan rakyat di negeri ini yang layak untuk menerima vaksin agar mendaftar dengan segera melalui saluran yang telah ditetapkan bagi mendapatkan suntikan tersebut.

“Beta ingin mengingatkan rakyat agar jangan lalai meskipun telah mendapat suntikan vaksin.

“Malah, terus mematuhi amalan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal demi mengawal wabak Covid-19 ini daripada terus merebak,” titahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN