Seramai 35,136 petugas barisan hadapan terima RM200

Seramai 35,136 petugas barisan hadapan terima RM200

HASNI Mohammad (tengah) bersama penerima Bantuan Tunai RM200 Kepada Petugas Barisan Hadapan Negeri Johor di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyalurkan bantuan secara one-off berjumlah RM7.02 juta kepada petugas barisan hadapan (frontliner) di negeri ini sebagai menghargai sumbangan mereka dalam membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Peruntukan itu akan menyaksikan seramai 35,136 petugas barisan hadapan di negeri ini menerima bantuan sebanyak RM200 setiap seorang.

Pejabat Menteri Besar Johor dalam satu kenyataan memberitahu, bantuan itu dibuat menerusi inisiatif di bawah Agenda Johor Berkebajikan yang dibentang dalam Belanjawan Johor 2021.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menyampaikan bantuan berkenaan kepada wakil agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Turut menerima bantuan berkenaan ialah wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Sementara itu, wakil PDRM, Inspektor Nongleek Prak Jun memberitahu, pihaknya menyifatkan bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam menghargai jasa agensi keselamatan dan kesihatan mengekang pandemik Covid-19.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak akan menaikkan lagi semangat petugas barisan hadapan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Bagi anggota ATM pula, Sarjan Mohd. Shukri Hussin, bantuan itu secara tidak langsung merupakan suntikan moral kepada petugas yang terlibat dalam pelbagai operasi ketika negara sedang berdepan tempoh mencabar ini.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN