Rasuah: Pegawai Imigresen dipenjara 10 hari, denda RM10,000

Rasuah: Pegawai Imigresen dipenjara 10 hari, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Imigresen dipenjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan RM2,600 berhubung kes sindiket rasuah pemalsuan cap sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di antara 2019 hingga 2020. 

Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Mohd. Azam Azhari Juhairi, 39, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Azam sebagai pegawai imigresen gred KP19 telah menerima wang tunai RM2,600 daripada seorang lelaki di kaunter imigresen KLIA2 di antara November 2019 hingga Mac 2020. 

Tertuduh yang masih berkhidmat di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Hakim Rozilah dalam penghakimannya memaklumkan, tertuduh sepatutnya menjaga pintu masuk negara, tetapi gagal dan mengkhianati amanah.

“Kes rasuah tidak mempunyai mangsa sebaliknya situasi menang-menang (antara pemberi dan penerima rasuah).

“Namun memberikan implikasi besar terhadap masyarakat dan negara serta semua penjawat awam pegang amanah dan bertanggungjawab. Kamu masih muda dan ambil iktibar kejadian ini dan tidak ulangi lagi,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tiga harta melibatkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati V4S dan basikal roadbike jenama Sworks yang diperolehi daripada hasil rasuah itu turut dilupuskan haknya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, tertuduh diwakili Peguam, Naim Kamaruddin memohon hukuman penjara sehari dan denda paling minimum berikutan perlu menanggung isteri merupakan suri rumah dan ibunya berusia 55 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis yang kronik.

“Anak guam saya juga kesal dan berharap peluang kedua selain tidak mempunyai rekod lampau sebelum ini,ujarnya. 

Bagaimanapun, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Fadhli Ab. Wahab menegaskan hukuman yang dipohon pihak pembelaan adalah tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh yang melibatkan isu keselamatan. 

“Tertuduh diberikan amanah untuk menjaga pintu masuk negara namun telah gagal menjalankan amanah hanya untuk menerima rasuah. 

“Mesej perlu dihantar kepada orang awam dan penjawat awam bahawa tindakan rasuah adalah sesuatu tidak dibenarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya