Perkembangan dunia digital pada hari ini telah mencapai satu tahap penting bagi usahawan dan peniaga dalam memperkukuh pasaran digital. Memperluas prospek pasaran bukan sekadar memerlukan saluran digital untuk menyebarkan informasi dan promosi, tetapi juga memerlukan pemilihan platform bagi membolehkan urus niaga dan transaksi secara dalam talian dapat dilakukan oleh pelanggan.
Atas faktor tersebut, pasti kita pernah mendengar istilah-istilah seperti laman e-dagang, kedai dalam talian (Online Shop) dan Marketplace sebagai platform yang dapat membantu merealisasikan strategi dalam memperkukuh potensi pemasaran digital. Perlu untuk kita kenali perbezaan elemen tersebut bagi memastikan pilihan yang sesuai dalam membina hubungan pelanggan dan prospek pasaran digital.
Terdapat tiga platform utama yang menjadi pilihan usahawan dan organisasi perniagaan bagi memudahkan urus niaga pelanggan secara dalam talian tanpa memerlukan transaksi fizikal. Secara tidak langsung, ia membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan disamping memperkukuh prospek pasaran secara dalam talian dengan kos efektif.
Laman e-dagang
Ia merupakan platform yang dimiliki sepenuhnya oleh sesebuah perniagaan dan dibangunkan melalui khidmat pengatur cara laman sesawang. Ia memudahkan pelanggan untuk berurus niaga atau membeli produk dalam talian secara langsung dengan syarikat tanpa melibatkan pihak lain.
Kesan daripada krisis pandemik juga telah mendorong sebahagian besar perniagaan untuk menambah baik laman sesawang rasmi dengan menyediakan kemudahan e-dagang kepada pelanggan. Ia turut membantu meningkatkan keyakinan pasaran terhadap penjenamaan produk dan kredibiliti perniagaan.
Membina laman e-dagang melibatkan kos, namun ia membolehkan syarikat mengawal segala pengaturan mengikut kesesuaian prospek pasaran tanpa perlu menanggung kos premis fizikal.
Kedai Dalam Talian (Online Shop)
Pada dasarnya, kedai dalam talian adalah platform penjualan produk atau perkhidmatan dengan konsep seperti e-dagang. Namun, ia tidak memerlukan peniaga untuk membangunkan sebuah laman sesawang yang kompleks kerana ia boleh diwujudkan melalui platform media sosial seperti Facebook, Facebook Page dan Instagram.
Berbeza dengan laman e-dagang, kedai dalam talian memerlukan peniaga memuat naik status, gambar atau pautan secara berkala sebagai elemen promosi disamping membina interaksi dan engagement pelanggan. Ia boleh didaftarkan percuma namun peniaga tidak memiliki kawalan terhadap platform media sosial tersebut dan perlu mematuhi syarat piawaian yang telah ditetapkan oleh pemiliknya.
Instagram dan Facebook Page menjadi platform kedai dalam talian pilihan bagi kebanyakan peniaga memasarkan produk serta perkhidmatan kerana terbukti mampu memberi impak terhadap prospek pasaran. Peniaga boleh berhubung dengan pelanggan di ruangan komen atau melalui aplikasi Messenger dan Whatsapp untuk transaksi, urus niaga atau perbincangan lanjut.
Marketplace
Memiliki konsep seperti sebuah pusat membeli-belah, Marketplace menawarkan platform yang mempertemukan penjual dan pembeli secara dalam talian. Salah satu platform tertua di dunia adalah eBay dan kini platform seperti Shopee dan Lazada menjadi pilihan peniaga di Malaysia.
Ia juga boleh didaftarkan secara percuma. Para peniaga berpeluang memasarkan produk tanpa menanggung kos sewaan selain membayar peratusan kecil komisen daripada produk yang berjaya dijual kepada pemilik Marketplace. Ramai dalam kalangan usahawan yang berjaya memperkukuh pasaran melalui potensi Marketplace ini. Ia juga menjadi platform yang dipercayai dengan jumlah pengunjung yang terus meningkat.
Justeru itu, memanfaatkan potensi kesemua elemen platform ini berdasarkan kepentingan sesebuah perniagaan dapat membantu meluaskan lagi peluang dalam memperkukuh prospek pasaran digital. Ia juga merupakan sebahagian aset digital yang menyokong perkembangan digital kini dan masa hadapan.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.