Polis tumpas sindiket ah long ugut aib mangsa dalam FB 

Polis tumpas sindiket ah long ugut aib mangsa dalam FB 

A. ANBALAGAN (kanan) menunjukkan antara poster dan kad bank yang dirampas daripada dua ah long yang melalukan pemerasan serta ugutan bagi menuntut wang dalam sidang akhbar di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - FOTO/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Polis menumpaskan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang menggunakan kekerasan mengugut mahu mengaibkan mangsa dan keluarga dalam laman sosial selepas menahan dua suspek lelaki di Kulim, Kedah Selasa lalu. 

Lelaki tempatan berusia 20 dan 24 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD) kira-kira pukul 2.30 petang. 

Turut dirampas dalam serbuan tersebut beberapa keping sampul surat mengandungi salinan gambar kad pengenalan lebih 10 peminjam dengan tertera tulisan ‘Penipu Besar’, kad bank dan sekeping cek bernilai RM10,000. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pengusaha sebuah syarikat penghantar barangan berusia 46 tahun pada 22 Januari lalu. 

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa telah membuat permohonan pinjaman sebanyak RM30,000 daripada suspek dan telah diluluskan pada 19 September tahun lalu. 

“Daripada jumlah pinjaman tersebut, suspek hanya memasukkan sebanyak RM24,900 ke dalam akaun mangsa dan mangsa juga telahpun membayar wang pinjaman tersebut dalam tempoh setahun dengan jumlah RM31,700. 

“Pada 3 November lalu, pengadu tidak dapat membayar baki yang diminta suspek dan telah mendapat pengurangan sebanyak RM9,000 hasil persetujuan suspek. 

“Bagaimanapun sebaik pembayaran dibuat, suspek masih menghubungi pengadu dan meminta bayaran pinjaman yang masih ada serta mengugut menganggu ahli keluarga mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Barat Daya di sini hari ini. 

Anbalagan memberitahu, hasil siasatan lanjut, sindiket terbabit menjalankan operasi dengan mengiklankan khidmat pinjaman wang menerusi Facebook dipercayai sejak empat tahun lalu. 

“Modus operandi yang dilakukan mereka juga adalah dengan menularkan gambar peminjam yang gagal membayar pinjaman dalam media sosial dan mengedar gambar atau poster mangsa dengan tujuan mengaibkan mereka. 

“Selain itu, sindiket yang beroperasi di beberapa negeri itu juga akan memberi pinjaman kepada mangsa dipercayai dengan menetapkan faedah yang tinggi. 

“Ini disebabkan mangsa pertama terbabit berdepan kerugian sebanyak RM15,800 daripada jumlah asal yang dipinjamnya dan kita mengesyaki sindiket ini mempunyai sumber kewangan yang banyak dalam menjalankan kegiatan tersebut,” jelasnya. 

Beliau berkata, seorang daripada suspek pernah didakwa mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. 

Tambahnya, kedua-kedua suspek yang negatif sebarang pengambilan dadah itu kini ditahan reman sehingga 12 Mac (esok) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya