ALOR SETAR: Pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini terkejut apabila mereka ditahan dan diperiksa oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Cawangan Khas (SB).
Pemeriksaan mengejut terhadap anggota dan pegawai itu dilakukan di hadapan pintu masuk IPK.
Hasil pemeriksaan itu, beberapa kenderaan milik pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang bertugas di IPK tersebut, disaman kerana tidak mematuhi undang-undang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pemeriksaan itu bukanlah sesuatu yang aneh dalam usaha pihaknya menjaga integriti serta disiplin pasukan.
“Itu sebenarnya pemeriksaan rutin biasa. Kita periksa sama ada lesen mereka masih hidup, kenderaan ‘cukup sifat’, tidak melanggar undang-undang dan sebagainya.
“Kalau ada yang tak kena, kita saman juga. Bukan orang awam saja yang disaman seperti tanggapan sesetengah pihak,” katanya di sini hari ini.
Laman Facebook Polis Kedah turut memaparkan mengenai operasi tersebut hingga menjadikannya tular hari ini.
Menerusi maklumat dipaparkan dalam laman Facebook berkenaan, antara sebab saman tersebut dikeluarkan adalah nombor plat tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan.
Mengulas lanjut Hasanuddin berkata, pemeriksaan dijalankan turut merangkumi dokumen sulit dan pas keselamatan para pegawai dan anggota terlibat.
“Sejak saya mula bertugas di Kedah Julai tahun lalu, ini kali pertama pemeriksaan sebegini dijalankan.
“Tetapi sebelum ini ketika saya bertugas di Kelantan pun, ada juga kami lakukan pemeriksaan sama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE