RANTAU PANJANG: Sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas beberapa spesies haiwan peliharaan bernilai RM73,200 yang dipercayai diseludup masuk melalui jeti pangkalan haram di sini semalam.
Haiwan yang ditemukan ialah kura-kura albino, ikan emas dan ikan laga yang diletak dalam bekas plastik di tempat duduk penumpang sebuah kereta Nissan Latio di pangkalan haram Hassan Merah, di sini.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pemeriksaan awal ke atas kenderaan yang tidak berkunci itu menemukan guni-guni putih di tempat duduk penumpang belakang.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas guni-guni itu pula membawa kepada penemuan 20 kura-kura albino, 350 ikan emas dan 545 ikan laga.
“Siasatan awal mendapati kesemua haiwan ini dari negara jiran dan dibawa masuk secara tidak sah ke Malaysia menggunakan pangkalan haram tersebut.
“Pegawai dan anggota yang bertugas ketika itu berusaha menjejaki suspek tetapi gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011. – UTUSAN