Peruntukan RM4.9 juta bantu pemandu terjejas Covid-19

Peruntukan RM4.9 juta bantu pemandu terjejas Covid-19

WAKIL penerima bergambar selepas majlis penyerahan bantuan secara one-off daripada kerajaan negeri dengan nilai keseluruhan RM4.9 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyampaikan bantuan secara one-off berjumlah RM4.9 juta kepada pemandu teksi dan kereta sewa, pemandu bas sekolah, pemandu e-hailing dan penghantar makanan di negeri ini.

Bantuan itu sebahagian daripada inisiatif Agenda Johor Berkebajikan yang dibentang dalam Belanjawan Johor 2021 di bawah peruntukan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menyampaikan bantuan berkenaan kepada wakil daripada Pemandu Teksi Lapangan Antarabangsa Senai, Gabungan Teksi Berdaftar (Gapet), Pemandu Teksi Johor Bahru-Singapura dan Pemandu Bas Sekolah Berdaftar pada majlis ringkas yang diadakan di ruang legar Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Turut menerima bantuan pada majlis itu ialah wakil bagi pemandu e-hailing berdaftar, penghantar makanan Foodpanda, Grab Food dan Bungkus-It. 

IR. Hasni Mohammad menyampaikan bantuan kepada penghantar makanan.

Pengarah Urusan Pemandu Teksi Johor Bahru-Singapura Sdn. Bhd., Ahmad Osman berkata, mereka antara golongan yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19 kerana ketiadaan penumpang akibat penutupan sempadan Johor-Singapura.

“Sejak Mac tahun lalu, kami langsung tiada pendapatan kerana tidak boleh mengambil dan menghantar penumpang akibat penutupan sempadan.

“Terima kasih kerajaan negeri yang prihatin terhadap nasib kami. Kami berharap pandemik ini akan segera berakhir supaya kami boleh meneruskan kelangsungan hidup seperti dahulu,” katanya.

Bagi pemandu bas sekolah, M. Muruga berkata, pihaknya turut mengakui bantuan itu amat bermakna bagi golongan sepertinya kerana ramai antara mereka yang hilang punca pendapatan akibat penutupan sekolah.

“Terima kasih kepada kerana mendengar keluhan kami pengusaha-pengusaha bas sekolah dengan memberi bantuan ini,” ujarnya.

Perasaan sama turut diluah seorang penghantar makanan Bungkus-It, Azly Sham Azman yang mengakui bantuan itu sedikit sebanyak membantu golongan seperti mereka.

“Dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya ia boleh menampung kos baik pulih motosikal yang saya gunakan untuk menghantar makanan,” katanya pula.

Turut hadir dalam program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri; Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, dan Infrastruktur negeri, Solihan Badri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN