Pertemuan semua ADUN di NS bincang isu Covid-19 

Pertemuan semua ADUN di NS bincang isu Covid-19 

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu pertemuan di antara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan termasuk dalam kalangan pembangkang akan diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara membabitkan penularan wabak Covid-19 di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pertemuan itu dirancang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan namun tarikh sebenar belum ditetapkan lagi. 

Beliau berkata, pertemuan itu membolehkan semua wakil rakyat mendapat maklumat berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di kawasan masing-masing. 

“Saya berharap mereka (ADUN) akan menghadirkan diri, kerajaan negeri akan adakan pertemuan dengan semua termasuk daripada pihak pembangkang selama setengah hari.

“Kami juga hendak menyampaikan maklumat perancangan, peranan agar semua ADUN faham berkaitan kawasan mereka termasuk isu pendaftaran dan lokasi program imunisasi. Kali terakhir kami semua berjumpa adalah pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 tahun lalu,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini. 

Menurutnya, pemilihan lokasi di DUN berkenaan dilihat sesuai berikutan kawasan yang luas dan mempunyai penghadang.

“Pertemuan ini penting dan diwajibkan bagi membincangkan perkara berkaitan isu semasa kerana sidang DUN tidak boleh diadakan kerana deklarasi darurat jadi, saya berharap pertemuan itu berjalan lancar,” katanya. 

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan, hanya 26 peratus rakyat di negeri ini atau 228,275 orang daripada 1.1 juta telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera. 

“Pendaftaran penerima vaksin di negeri ini dilihat masih rendah namun saya menyeru kepada semua pusat khidmat supaya mendaftarkan mereka termasuk warga emas di aplikasi Mysejahtera atau klinik kesihatan yang berdekatan atau boleh menghubungi talian yang ditetapkan untuk mendaftar. 

“Saya berharap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Pusat Khidmat DUN supaya turut sama berkempen memastikan mereka mendaftar dengan segera. Saya berharap ini dapat membantu pihak kesihatan memudahkan suntikan vaksin kepada semua rakyat di negeri ini,” katanya. 

Sementara itu, menurutnya, sehingga semalam, seramai 12,865 petugas daripada 19,249 petugas barisan hadapan bagi fasa satu selesai menerima suntikan vaksin dan ia dijadualkan berakhir awal April ini. 

“Seramai 138,543 pula yang terdiri daripada pesakit kronik dan warga emas akan diberi vaksin pada April hingga Ogos ini. Seramai 691,608 orang warga negara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas pula akan menerimanya bermula Mei hingga Januari 2022,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya