Penjaga tokong berusia 73 tahun maut diserang anjing peliharaan

Penjaga tokong maut diserang anjing peliharaan

ANJING yang dipercayai menyerang seorang penjaga tokong hingga maut di tokong Buddha di Gunung Rapat, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penjaga tokong berusia 73 tahun ditemukan maut dipercayai diserang anjing peliharaan di sebuah tokong Buddha di Gunung Rapat dekat Jalan Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.

Mangsa, Chee Ah Lin yang berasal dari Ipoh ditemukan terbaring dengan beberapa kesan gigitan di tangan dan leher kira-kira pukul 12 tengah hari.

Mayat lelaki itu dijumpai oleh bendahari pusat Buddha berkenaan sebelum melaporkan penemuannya kepada pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintenden Lee Swee Sake berkata, sepasukan anggota ke lokasi kejadian dan menjumpai mayat mangsa tanpa pakaian dengan kesan darah di lantai.

Katanya, sebatang penyapu dan sehelai seluar jeans dengan kesan koyakan juga ditemui berhampiran lelaki itu.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan berupa gigitan haiwan di tangan dan leher mangsa.

“Pakaian mangsa juga seolah-olah dikoyakkan seperti digigit. Kita tidak menolak kemungkinan mangsa diserang anjing belaan yang menjaga tokong tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, semasa pihaknya tiba di lokasi kejadian, dua ekor anjing yang dipercayai menyerang mangsa dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat, haiwan tersebut merupakan anjing belaan dan memang dilepaskan bagi tujuan menjaga tokong.

“Mangsa bekerja di tokong berkenaan sejak dua tahun lalu dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.

“Pemeriksaan ke atas mangsa tidak menjumpai perlakuan jenayah malah tiada kehilangan barang berharga dilaporkan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh 24 hingga 36 jam.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya