Peniaga Cameron Highlands kecewa gerai diroboh

Peniaga Cameron Highlands kecewa gerai diroboh pihak berkuasa

PARA peniaga berkumpul di hadapan tapak gerai mereka yang dirobohkan di Kea Farm di Cameron Highlands hari ini. - FOTO/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Sekumpulan lima peniaga warga emas kecewa apabila gerai tempat berniaga sayur sejak 30 tahun lalu di kawasan tumpuan pelancong di Kea Farm di sini dirobohkan pihak berkuasa semalam tanpa mengambil kira rayuan agar operasi merobohkan ditangguh.

Mereka yang terdiri daripada peniaga berusia 55 hingga 67 tahun yang sebahagian besarnya wanita mendakwa tindakan meroboh gerai mereka semalam menyebabkan mereka hilang pendapatan.

Seorang peniaga, Kamsiah Surin, 63, mengakui ada menerima notis arahan berpindah namun mereka telah mengemukakan rayuan agar diberikan tempoh kerana sebagai warga emas mereka tidak boleh bekerja atau keluar rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, namun dia terkejut apabila gerainya dan para peniaga lain dirobohkan pihak berkuasa semalam.

“Saya sudah berniaga di sini selama 30 tahun cukup terkilan apabila kesemua gerai kami dirobohkan, sedangkan kami telah mengemukakan rayuan kepada Pejabat Tanah dan Daerah agar ditangguh, diberikan masa.

“Kami merupakan warna emas tidak boleh keluar rumah semasa PKP, jadi macam mana kami nak kosongkan gerai. Kami telah buat surat rayuan pada bulan lalu dan akur akan keluar tapi tiba-tiba sahaja gerai kami dirobohkan semalam, saya rasa amat sedih,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Jaafar Sidek Kamaluddin, 66, berkata, gerai mereka tidak sepatutnya dirobohkan kerana masih dalam kes di mahkamah atas dakwaan peniaga terlibat menceroboh tanah namun menafikan dakwaan itu.

Menurutnya, sehubungan itu peniaga terlibat menuntut ganti rugi RM50,000 bagi setiap gerai yang dirobohkan atau RM250,000 keseluruhan dan lain-lain kos.

“Kami juga menuntut benarkan untuk mendirikan semula gerai di sini dan menjalankan perniagaan di bawah khemah atau payung sehingga kes di mahkamah selesai selesai,” katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis berkata, sepatutnya tindakan meroboh gerai itu tidak menjadi isu kerana pihak berkuasa yang terlibat telah memberikan tempoh yang mencukupi untuk peniaga terlibat berpindah ke tempat perniagaan baharu sebagai ganti.

Menurutnya, ini kerana tiga notis pengosongan telah berikan kepada peniaga terlibat iaitu dua notis pada 17 November lalu dan satu lagi notis pada 14 Januari lalu.

Katanya, peniaga terlibat diarah pindah disebabkan isu keselamatan kerana tapak perniagaan tersebut dekat dengan rizab jalan.

“Peniaga terlibat diberikan tempat berniaga yang baru sebagai ganti di Medan Agro di sini. Kos gerai baru ini ditanggung kerajaan negeri dengan peruntukkan RM50,000, sekali dengan kos pendawaian elektrik jadi semuanya RM55,000 di bawah projek Pembangunan Luar Bandar.

“Sebenarnya kita tak tertakluk untuk bagi mereka gerai sebab tanah tempat mereka berniaga tanah kerajaan, tapi kita atas dasar ihsan kerajaan negeri setuju untuk tanggung kos pembinaan gerai baru dan mereka juga sudah menandatangani surat tawaran bersetuju untuk berpindah ke gerai baharu,” katanya.

Menurutnya, tempoh yang diberikan untuk peniaga tersebut berpindah adalah munasabah malah pada Selasa lalu telah memaklumkan secara lisan mengenai operasi merobohkan gerai akan dijalankan semalam.

“Kita sudah beri tempoh yang mencukupi untuk mereka berpindah namun tak ada perubahan tapi bukan semua enggan berpindah, hanya seorang sahaja, peniaga lain setuju berpindah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN