Pengorbanan ibu tunggal jaga anak OKU dapat perhatian Econsave 

Pengorbanan ibu tunggal jaga anak OKU dapat perhatian Econsave 

ZAMZURI Mansor (depan) menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dan susu formula kepada Faridah Said di Kepala Batas, Pulau Pinang untuk kegunaan Noraihan Razali yang terlantar di atas tilam sejak 21 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Pengorbanan seorang ibu tunggal yang cekal menjaga anak istimewanya meskipun menghidap pelbagai jenis penyakit pernah mendapat liputan daripada akhbar Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

Rentetan liputan tersebut, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung dua beranak itu. 

Terbaharu, pengurusan sebuah pasar raya terkenal iaitu Econsave menerusi cawangan mereka di Raja Uda, Butterworth turut tidak ketinggalan berbuat demikian sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. 

Diketuai Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor, pengurusan pasar raya itu bermurah hati menyerahkan pelbagai bantuan terutama melibatkan barangan keperluan harian kepada anak istimewa itu, Noraihan Razali, 21, atau lebih mesra disapa Kak Long. 

Menurut Zamzuri, selain stok lampin pakai buang yang boleh digunakan selama beberapa bulan, pihaknya turut menyumbangkan enam tin susu formula bersaiz besar untuk kegunaan Noraihan serta beberapa barangan keperluan lain termasuk tisu basah dan makanan dalam tin seperti nestum. 

“Noraihan ini merupakan penerima bantuan yang ke-10 di bawah program CSR Econsave Prihatin untuk tahun ini  setakat ini,” katanya yang memberitahu, turut disumbangkan ialah sebuah kipas angin serta tilam baharu. 

Ketika ini, selain ibunya, Faridah Said, 56, yang mengidap beberapa penyakit seperti buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan jantung, turut tinggal bersama dua beranak itu ialah adik ipar Faridah, Siti Khatijah Awang Kechil, 30, serta dua orang anak lelakinya yang berusia tiga dan tujuh tahun. 

Siti Khatijah bagaimanapun hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan bayaran kira-kira RM30 sehari. 

Selain itu, Noraihan juga menerima bantuan bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM900, namun jumlah itu tidak begitu mencukupi untuk menampung keperluan harian keluarga terbabit. 

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang sudi membantu kami hingga ke hari ini dan hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik ini,” kata Faridah kepada Utusan Malaysia

Faridah juga bersyukur kerana sumbangan yang dihulurkan para penderma termasuk pengurusan Econsave itu membolehkan dia menyambut bulan Ramadan kali ini dengan penuh kelegaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya