GERIK: Seorang penghantar surat maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor kera yang melintas jalan di Kilometer 37.2, Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Lenggong semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.20 petang berhampiran jalan besar Banggol Belimbing itu mengorbankan Ahmad Dzulkifli, 34, akibat pendarahan dalaman di kepala.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal model SYM VF3i itu dalam perjalanan dari Lenggong menghala ke Kuala Kangsar.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, seekor kera telah melintas jalan dan mangsa yang tidak sempat mengelak telah terlanggar haiwan tersebut.
“Mangsa dipercayai tercampak di atas jalan tar dan dihantar ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk rawatan awal.
“Bagaimanapun, akibat kecederaan dalaman di kepala, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 5.55 petang semasa menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika kejadian, keadaan hujan renyai dengan jalan basah dan di kiri dan kanan jalan merupakan kawasan belukar.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri itu memakai topi keledar ketika kejadian.
“Siasatan mendapat kemalangan berlaku berpunca kerana melanggar kera dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE