Penduduk rindu kemeriahan Rantau Abang seperti dulu

Penduduk rindu kemeriahan Rantau Abang

BUKIT Batu Penyu yang menyerupai penyu menjadi lokasi tumpuan pengunjung di Rantau Abang di Dungun, Terengganu. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Bagaikan pesta, demikian gambaran penduduk mengenai kemeriahan Rantau Panjang kira-kira 30 tahun lalu apabila destinasi itu menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat penyu belimbing bertelur.

Kawasan pantai yang gelap mula dilimpahi cahaya lampu dan unggun api di samping penganjuran pelbagai aktiviti menarik termasuk gerai jualan serta persembahan tarian bagi menyambut kedatangan ribuan pengunjung saban malam.

MUHAMMAD DERAMAN

Seorang penduduk, Muhammad Deraman, 59, berkata, tarikan Rantau Abang membuatkan dia tidak kisah bermalam di pantai terutama pada hujung minggu semata-mata tidak ma­hu terlepas peluang melihat ke­meriahan suasana berkenaan.

“Setiap Khamis hingga Ahad saya dan rakan-rakan ber­kampung di pantai termasuk tidur di sana kerana menunggu penyu naik bertelur.

“Kemasyhuran Rantau Abang turut memberi limpahan rezeki kepada penduduk dan saya berpeluang meraih pendapatan de­ngan menjaga parkir di samping menjadi pemandu pelancong,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad berkata, dia di­ba­yar 20 sen bagi menjaga basikal manakala 50 sen (motosikal) dan upah sebagai pemandu pelancong bagi membawa orang ramai melihat penyu dengan dikenakan RM2 sekepala lazimnya dia mampu meraih purata bersih sebanyak RM80.

Menurutnya, kehadiran pe­lan­cong yang tinggi antara Mac hingga Ogos turut menyebabkan penduduk setempat yang bekerja di Singapura pulang sementara ke kampung halaman demi meraih pendapatan lumayan pada musim penyu bertelur.

MAZNAN MAT NOH

“Pernah satu malam pelbagai jenis penyu seperti belimbing, karah dan agar naik mendarat sehingga 100 ekor di sepanjang Pantai Rantau Abang, keseronakannya sukar digambar apabila melihat jumlah penyu yang ba­nyak,” katanya.

Sementara itu, Maznan Mat Noh, 56, yang berasal dari Kampung Pasir Putih, Marang berkata, dia bersama rakan-rakan sanggup berjalan kaki hampir 20 kilometer ke Rantau Abang semata-mata untuk melihat penyu mendarat.

Katanya, saiz penyu belim­bing yang sebesar sebuah kereta menjadi daya penarik pe­ngunjung untuk melihat sendiri reptilia marin tersebut secara dekat.

“Kami tidak pernah terfikir Rantau Abang bertukar sunyi sepi seperti sekarang setelah penyu kurang mendarat.

“Semasa saya bekerja di Pusat Santuari Penyu dahulu pun jumlah yang naik mendarat sudah berkurangan dan kali terakhir saya dapat melihat penyu belimbing naik bertelur adalah sekitar 1996,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya