Peladangnita agih 350 bungkus sayur percuma ringankan beban

Peladangnita agih 350 bungkus sayur percuma

ZARINA Mohd. Bain (tiga dari kanan) bersama penerima sayur percuma sempena Sambutan  Hari Wanita di Peladang Bizz Centre, Bt. 29, Pekan Nanas, Pontian, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sebanyak 350 bungkus sayur-sayuran berjaya diagihkan tidak sampai dua jam dalam program pemberian sayuran percuma sempena Sambutan Hari Wanita di Peladang Bizz Centre, Batu 29, di sini pagi tadi.

Menurut Pengerusi Peladangnita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas, Zarina Mohd. Bain, pengagihan sayuran seperti kangkung, terung, kobis, lada cili diharap membantu meringankan golongan yang memerlukan.

Katanya, pemberian sayur percuma merupakan inisiatif pihaknya bagi membantu pengusaha atau pekebun sayur-sayuran di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) termasuk penanam nanas moris.

“Kami juga mengagihkan buah nanas moris kepada orang ramai yang datang sekali gus membantu penanamnya yang menghadapi lambakan buah tersebut di pasaran ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Turut hadir menjayakan program tersebut Ketua Whips, Majlis Daerah Pontian (MDP), Israk Abdullah dan Ketua Kampung Kawasan (4) Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Kasbon Kasron.

Tambah Zarina, mereka yang datang menghargai pemberian sayur percuma itu yang dapat digunakan sebagai bekalan untuk keluarga bagi sehari dua, selain menjimatkan perbelanjaan dapur.

“Program ini akan diperluaskan ke beberapa lokasi bagi membolehkan lebih ramai golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dapat dibantu,” ujarnya. 

Sehubungan itu, Zarina mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin turut serta dalam memberi sumbangan seperti pemberian ayam percuma, ikan dan sebagainya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN