LANGKAWI: Gara-gara takut ditangkap pihak berkuasa, sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar sanggup terjun ke laut dan bersembunyi di dalam belukar berdekatan.
Namun dalam Operasi Sapu yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen di Kampung Bukit di sini hari ini, seramai 18 orang warga asing warga Myanmar yang menetap di situ tanpa sebarang dokumen sah, berjaya ditangkap.
Operasi yang dijalankan selama tiga jam itu bermula pukul 12.40 tengah hari ini turut memeriksa seramai 263 individu di penempatan haram itu.
Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, operasi melibatkan 25 orang pegawai membabitkan 32 rumah atas air.
“Sebahagian PATI yang berada di dalam rumah tersebut cuba meloloskan diri melalui pintu belakang dengan terjun ke laut dan bersembunyi di dalam belukar berdekatan.
“Mereka yang ditahan terdiri dari 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 16 hingga 38 tahun atas kesalahan gagal mengemukakan pas yang sah tinggal di negara ini,” katanya.
Zuhair memberitahu, semua PATI itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, tambahnya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuah di sini, untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke lokap Imigresen Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu melaporkan warga Myanmar kebal sampai ke hari ini belum ada tindakan diambil terhadap penempatan haram warga Myanmar yang semakin membarah di Bukit Malut.
Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemarkan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan.
Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran Little Myanmar itu yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pulau legenda tersebut. – UTUSAN ONLINE