TANJONG KARANG: Sanggup membayar antara RM1,000 hingga RM3,000 kepada ejen pencari pekerjaan di Indonesia untuk memasuki Malaysia.
Itulah pendedahan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika disiasat selepas mereka ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 pagi oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Selangor di Jalan Parit 4, Sungai Burung, di sini semalam.
Seramai 19 PATI termasuk 11 wanita berusia 23 hingga 49 tahun itu menyusup masuk dalam negara ini melalui laluan sempadan yang tidak diwartakan.
Pegawai Pemerintahnya, Superintenden Rizal Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah melakukan serbuan dan menemukan kesemua PATI warga Indonesia dari pelbagai wilayah.
“Siasatan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
“Mereka menaiki bot dari Tanjung Balai, Indonesia dan mendarat di pesisir pantai Kampung Sungai Burung di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rizal, PATI ini dijanjikan pekerjaan daripada pelbagai sektor antaranya sebagai tukang urut, pembinaan dan perladangan, malah siasatan mendapati juga ada yang ditahan pernah bekerja dan mempunyai keluarga di Malaysia.
Katanya, semua yang ditangkap telah dibawa ke Balai Tanjong Karang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan anggota bertugas,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya menyeru orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN ONLINE