Pasangan warga emas hidup atas bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

‘Kami rela mencatu makanan daripada hidup berhutang’

ZAITON Ismail (dua dari kanan) melawat Fatimah Abdullah (kiri) sambil diperhatikan Mohamad Hapil (kanan) di rumah pasangan warga emas itu di Kempas Baru, Johor Bahru hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri warga emas kini bergantung harap kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semata-mata bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka di sebuah rumah usang di Jalan Banjaran 10, Kempas Baru, di sini.

Berbekalkan bantuan RM500 sebulan itu, Fatimah Abdullah, 63, berkata, ia digunakan untuk membeli lauk dan makanan selama sebulan selain digunakan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti sebanyak RM220 sebulan.

Memandangkan bantuan yang diterima tidak begitu banyak, dia terpaksa mencatu makan minum bersama suaminya, Malik Lau Abdullah, 73, yang kini menghidap penyakit angin ahmar di bahagian kiri badannya sejak lima tahun lalu.

“Selepas diserang angin ahmar, suami tidak lagi bekerja sepenuh masa di bengkel sebagai tukang cat kereta. Kini suami hanya kerja sambilan tetapi sejak negara dilanda pandemik Covid-19, kerja sambilan itu juga berkurangan dan upah yang diterima juga tidak menentu. Kadang-kadang dia hanya menerima upah tidak sampai RM300, ada masa langsung tidak menerima bayaran. 

“Walaupun mengalami kesempitan hidup, saya akan pastikan kami tidak berhutang dan bayaran sewa rumah serta bil api dan air dibayar mengikut masa. Biarlah kami terpaksa mencatu makanan, asalkan tidak berhutang

“Biasanya, lauk yang dibeli ialah ikan kembung batu memandangkan suami tidak makan ayam atau daging. Ikan itu akan dipotong dua, sebelah akan dimakan waktu siang dan sebelah lagi disimpan untuk makan malam,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail baru-baru ini.

Dalam kunjungan bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia itu, Zaiton menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan makanan, peralatan dapur selain membantu pasangan itu mencantikkan dapur rumah mereka menerusi program ‘Deko Dapur’. 

Pasangan yang memeluk Islam sejak 1992 itu antara wanita cekal yang dikunjungi Zaiton dan Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil serta wakil agensi lain di bawah portfolionya. 

Menurut Fatimah, untuk membantu mereka lebih berjimat-cermat, dia turut bercucuk tanam di sekeliling rumahnya yang telah didiami sejak 10 tahun yang lalu.

Katanya, ada masa mereka turut dibantu oleh keluarga iparnya dengan memberikan sedikit duit belanja serta barangan makanan.

“Kami tidak mempunyai cahaya mata, jadi apa-apa kerja kami perlu melakukannya sendiri. Biasanya saya akan berbasikal sejauh dua batu ke kedai runcit berhampiran untuk membeli lauk secara pukal yang boleh bertahan untuk tempoh seminggu atau lebih,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN