KUALA LUMPUR: Dengan hanya sekali lafaz, pengacara dan pelakon popular, Neelofa sah bergelar isteri kepada pendakwah, Haris Ismail dalam satu majlis yang diadakan di sini 11.43 pagi sebentar tadi.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 31, dinikahkan oleh adiknya, Mohd. Aqief Mohd. Noor.
Anggun dalam sepersalinan putih suci, Neelofa menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insyaAllah,” ujar Neelofa dan Haris.
Majlis yang hanya dihadiri lebih kurang 150 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat itu juga berlangsung dalam norma baharu serta kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Majlis yang berlangsung secara tertutup ini juga sekali gus menamatkan spekulasi yang bertebaran sejak beberapa hari sebelum ini. – UTUSAN