MELAKA: Kerajaan negeri membuat tuntutan balas ganti rugi kepada KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJ) lebih RM410 juta yang terpaksa ditanggung berikutan kegagalan syarikat itu menyempurnakan projek penambakan laut seluas 246 hektar, pagi tadi.
Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, antara ganti rugi yang dituntut adalah meliputi bayaran premium tanah bagi kesemua kawasan penambakan.
Katanya, ia juga membabitkan satu per enam bahagian tanah hak milik kerajaan negeri di keseluruhan tapak konsesi dan bayaran cukai tanah premium yang keseluruhannya berjumlah RM410,677,655.95.
“Selain itu, kerajaan negeri juga menuntut balas terhadap pengayaan tidak patut (unjust enrichment) yang telah diperolehi oleh KAJ terhasil daripada pelbagai pakej galakan istimewa sebagai Pemaju Induk oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Tuntutan itu juga atas asbab memperolehi insentif cukai bagi pengecualian cukai pendapatan dan telah memperolehi lesen ship-to-ship transfer yang membolehkannya mengaut keuntungan serta penjualan sebahagian daripada projek penambakan PME 1 seluas 211.5976 ekar, kepada pihak ketiga dengan jumlah sebanyak RM43,657,000, ” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut memfailkan pembelaan menafikan tuntutan syarikat tersebut dan telah menegaskan bahawa penamatan Perjanjian Tambak Laut adalah sah berikutan kegagalan syarikat itu menyiapkan penambakan itu dalam tempoh masa dipersetujui iaitu 36 bulan.
“Sepertimana yang telah dipersetujui pihak-pihak melalui perjanjian tersebut, penambakan laut seluas 609 ekar tersebut seharusnya disiapkan dalam tempoh 36 bulan dan kerajaan negeri sepatutnya mendapat satu per enam bahagian tanah dari keseluruhan kawasan yang ditambak sebagai balasan.
“Kenyataan pihak KAJ dalam tuntutannya mendakwa punca kelewatan menyiapkan kerja penambakan disebabkan oleh kelulusan teknikal diberikan kepada syarikat adalah tidak berasas dan kerajaan negeri percaya bahawa ia berlaku disebabkan oleh kegagalan serta ketiadaan tindakan sewajarnya oleh KAJ sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya lagi, dalam apa jua keadaan sekalipun, kerajaan negeri percaya bahawa KAJ dengan jelas gagal menyiapkan penambakan di bawah tempoh masa yang diberikan dan susulan itu perjanjian dengan syarikat tersebut dibatalkan.
Terdahulu, KAJ telah diberikan kelulusan untuk konsesi penambakan laut pada tahun 2009. Lanjutan daripada kelulusan tersebut, beberapa perjanjian penambakan di antara kerajaan negeri dan pihak syarikat telah ditandatangani pada tahun 2009, 2012, 2013 dan 2014.
Bagaimanapun, kerajaan negeri bertindak mengemukakan notis kepada KAJ untuk meremedikan kegagalannya menyempurnakan projek itu pada 12 Oktober lalu sebelum terpaksa mengambil keputusan membatalkan sepenuhnya perjanjian pada 16 November.
Lanjutan daripada Notis Penamatan tersebut, KAJ telah menfailkan saman terhadap kerajaan negeri. Antara pihak lain yang turut disaman adalah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka (PTG), Lembaga Pelabuhan Melaka dan Menteri Pengangkutan. – UTUSAN ONLINE