MCM bantu seramai 300 asnaf Bajau Laut di Pulau Mabul

MCM bantu 300 asnaf di Pulau Mabul

SALAH satu keluarga membawa pulang bantuan yang diberikan oleh MCM di Pulau Mabul, Semporna, Sabah. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Seramai 300 go­longan asnaf dalam kalangan komuniti Bajau Laut dan Suluk di Pulau Mabul menerima bantuan bekalan makanan harian daripada Muslim Care Malaysia (MCM) di sini.

Golongan berkenaan sekali gus merekodkan sebagai pene­rima terbesar setakat tiga hari misi kemanusiaan dijalankan MCM di sekitar daerah Tawau dan Semporna.

Bantuan itu nyata memberi berita gembira untuk pendu­duk yang di tinggal di pondokan di sekitar perairan pulau itu kerana Perintah Kawalan Per­­gerakan (PKP) dan wabak Co­vid-19.

Presiden MCM, Zulkiflli Wa­hijan berkata, majoriti peneri­ma manfaat terdiri daripada balu dan ibu tunggal yang hilang mata pencarian setelah kebanyakan pusat peranginan dan inap desa di pulau itu tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana tiada tempahan daripada pelancong luar dan dalam negara.

“Setelah semua penerima disenarai pendek oleh jawatankuasa penduduk, kita dapati ramai ibu tunggal dan balu yang sudah berusia hidup dalam keadaan yang serba naif.

“Menerusi lawatan yang dijalankan dari rumah ke rumah, ada penduduk yang masih belum menjamah makanan kerana tiada apa yang boleh dimakan.

“Setidaknya, dengan sedikit bantuan daripada MCM, me­reka bersama-sama boleh me­nikmati seperti mana orang lain yang tidak senasib mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Setiap asnaf menerima barangan bernilai RM100 yang terdiri daripada beras 10 kilogram, teh kopi, mi kuning, susu pekat, telur dan telekung selain masing-masing satu kilogram gula, minyak masak serta tepung.

MCM bergerak sebagai orga­nisasi dengan fokus utama iaitu dakwah, perubatan, kebajikan dan pendidikan sejak 2006.

Misi kemanusiaan kali ini mendapat kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin, KLCC.

Sementara itu bercakap kepada Utusan Malaysia, Sima Tahil, 26, gembira kerana sebelum bantuan bekalan makanan tiba, dia terpaksa mencatu makanan di rumah agar mampu bertahan dalam masa beberapa hari.

Wanita etnik Bajau Suluk yang berniaga keropok lekor secara kecil-kecilan di pulau itu tidak dapat menjana pulangan modal kerana hasil jualan sehari hanya sekitar RM3 sehingga RM5.

“Bila hasil jualan sangat sikit, saya tidak mampu membeli barangan keperluan harian. Jadi apa sahaja bekalan yang masih berbaki, saya perlu berjimat sebaik mungkin,” katanya.

Omar Jaddani, 45, berkata, walaupun bantuan tersebut tidak bertahan untuk jangka masa panjang, setidaknya dia tidak perlu memikirkan inisiatif dalam masa terdekat untuk memberi makanan kepada anak-anaknya.

“Bayangkan, beras yang tinggal secupak saya terpaksa bahagikan kepada lima orang anak kerana saya sudah tiada apa-apa lagi masa sekarang. Biarlah saya yang berlapar daripada melihat anak-anak kebuluran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN